Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setiausaha politik Anwar nafi khabar angin pelantikan Wan Azizah di JPM
Diterbitkan:  Jan 30, 2023 3:16 PM
Dikemaskini: Feb 14, 2023 4:29 PM

Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Azman Abidin menafikan khabar angin bahawa isteri perdana menteri itu, Wan Azizah Wan Ismail dilantik memegang jawatan rasmi di Jabatan Perdana Menteri.

Ia berikutan laporan bahawa Anwar melantik anak sulungnya Nurul Izzah sebagai penasihatnya dalam ekonomi dan kewangan.

Keputusan itu mendapat kecaman ramai termasuk pembangkang yang mendakwa ia merupakan amalan nepotisme.

Bagaimanapun, Azman menjelaskan Wan Azizah tidak dilantik untuk memegang sebarang jawatan di bawah JPM.

Katanyan kandungan poster yang tersebar itu juga adalah tidak benar.

“Ini tidak benar. (Ia adalah) propaganda,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, sebuah poster tersebar dalam Whatsapp bagi mengucapkan tahniah kepada Wan Azizah atas pelantikannya sebagai pengerusi ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan yang telah disusun semula di bawah JPM.

Poster itu tidak mempunyai sebarang tandatangan tetapi hanya potret Wan Azizah dan lambang jata negara.

Azman menjelaskan Wan Azizah hanya mempengerusikan mesyuarat dalaman di kalangan ahli-ahli parlimen Wilayah Persekutuan baru-baru ini untuk membincangkan isu di

Kuala Lumpur dan ia bukanlah di bawah mana-mana agensi atau jabatan kerajaan.

“Mereka bercadang untuk tubuh sebuah sekretariat yang tidak rasmi bagi menyelaraskan isu berkenaan KL.

“Ahli-ahli parlimen KL yang minta Wan Azizah untuk pengerusikan mesyuarat.

“Sebab Wan Azizah pun ahli parlimen Bandar Tun Razak. Tak salah pun untuk beliau mempengerusikan mesyuarat itu.

“Tapi poster itu tidak benar, ini bukan satu jawatan yang rasmi. Mesyuarat ini tidak di bawah mana-mana agensi atau jabatan. Tiada kuasa untuk menetapkan dasar,” katanya.

Dia juga menjelaskan bahawa mesyuarat itu tiada kaitan dengan Federal Territories Interactive Council yang ditubuhkan kerajaan pada Disember tahun lepas.

Katanya, ia dipengerusikan sendiri oleh Anwar dan hanya menjadi platform bagi ahli parlimen membincangkan isu-isu kritikal dan mencadangkan dasar pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Dia menegaskan bahawa sekretariat tidak rasmi yang dicadangkan itu tidak terlibat dalam sebarang dasar atau membuat keputusan tetapi semata-mata untuk mengumpul dan menyampaikan pendapat serta perbincangan ahli Parlimen kepada Anwar.

Jabatan Wilayah Persekutuan kini dikegtuai oleh ketua pengarahnya Rosida Jaafar.

Lihat Komen
ADS