Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Biarlah rakyat marah': Lim bandingkan Saravanan dengan Marie Antoinette
Diterbitkan:  Oct 6, 2022 2:21 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendakwa M Saravanan bersikap "tidak berhati perut" berhubung kenyataan menteri sumber manusia itu berkenaan PRU15 di tengah musim banjir.

Semalam, Saravanan mendakwa pembangkang akan mendapat manfaat jika orang ramai marah jika PRU diadakan semasa musim banjir.

"Saya pelik, takkan pembangkang ini baik sangat. Kalau kerajaan hari ini buat kesilapan besar adakan pilihan raya masa banjir, kalau betul-betul rakyat marah, biarlah rakyat marah," katanya.

Mengulas kenyataan itu, Lim menyamakan kenyataan "biarlah rakyat marah" dengan kenyataan terkenal "let them eat cake" yang sering dikaitkan dengan permaisuri terakhir Perancis, Marie Antoinette.

"Sikap tiada perasaan dan acuh tak acuh seperti itu terhadap risiko kehilangan nyawa dan harta benda ketika musim banjir telah membuktikan kerajaan persekutuan tidak layak untuk memerintah, apabila ia tidak peduli kepada rakyat tetapi hanya ingin mengekalkan kuasa, tanpa mengira cara," katanya.

Dia berkata ramai pakar telah mencadangkan agar pilihan raya diadakan hanya selepas musim tengkujuh berakhir namun ada ahli politik BN yang sanggup menggadaikan nyawa dan harta rakyat biasa.

"Lebih buruk lagi, kerajaan setakat ini gagal menyatakan rancangan luar jangka banjir ketika pilihan raya, dan sama ada pilihan raya yang diadakan perlu ditangguh jika banjir melanda.

"Malah Kedutaan AS telah mengeluarkan amaran terhadap warganya berhubung banjir di Malaysia. Jelas, Kedutaan AS lebih bertanggungjawab berbanding kerajaan kita dalam menjaga rakyat," katanya.

Katanya lagi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya belajar daripada kebimbangan Yang di-Pertuan Agong yang berkunjung ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) hari ini.

Lihat Komen
ADS