Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johari Abdul sahkan namanya antara calon speaker parlimen

Bekas ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul mengesahkan namanya antara calon yang dicadangkan sebagai speaker Dewan Rakyat.

“Ada beberapa nama sudah dikemukakan oleh pelbagai pihak. Difahamkan nama saya antaranya.

“Mungkin, mungkin (saya akan menjadi speaker),” kata Johari ketika dihubungi Malaysiakini.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Johari akan menjadi speaker Dewan Rakyat yang baru selepas Azhar Azizan Harun berundur daripada jawatan itu pada 18 Dis mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Johari pernah ditawarkan jawatan speaker pada 2018 apabila PH mentadbir negara selepas PRU14, tetapi dia menolaknya.

Pada masa itu, jelasnya, dia membuat keputusan itu kerana perlembagaan menyatakan seorang Adun yang dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat perlu menarik diri daripada DUN. Ketika itu, Johari merupakan Adun Gurun.

Johari pada hari ini juga berkata dia tidak tahu-menahu mengenai siapa bakal timbalan speaker.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan kerajaan akan mengemukakan nama daripada DAP serta Ahli Parlimen BN untuk Cameron Highland Ramli Md Nor.

Ramli (gambar, atas) kini pemangku timbalan speaker. Malaysiakini telah menghubungi Ramli mengenai perkara ini dan sedang menunggu jawapannya.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Johari berkata dia akan meneruskan perjuangan untuk Akta Perkhidmatan Parlimen sekiranya dia menjadi speaker baru.

Walaupun namanya antara senarai calon speaker, dia berkata dirinya masih belum menerima sebarang pengesahan daripada pejabat sekretariat Dewan Rakyat.

PN sebelum ini berkata gabungan itu juga mengemukakan calon sendiri untuk speaker Dewan Rakyat.

Lihat Komen
ADS