Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengamal perundangan hadir beri penghormatan terakhir buat Gopal Sri Ram

Ratusan anggota pengamal undang-undang hari ini mengucapkan selamat tinggal terakhir kepada tokoh bidang perundangan mendiang Gopal Sri Ram.

Pengamal undang-undang swasta, hakim mahkamah persekutuan dan timbalan pendakwa raya mula turun ke pusat peringatan Nirvana 2 di Bukit Seputeh di Kuala Lumpur sejak 8 pagi tadi.

Di dalam dewan yang luas di pusat tempat keranda Sri Ram diletakkan, barisan panjang mula terbentuk pada awal pagi ketika anggota badan perundangan dan badan kehakiman menunggu untuk memberi penghormatan di tengah-tengah suasana suram.

Antara yang dilihat ialah Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah, pendahulu Cheah Christopher Leong dan Steven Thiru, Peguam Negara Idrus Harun, pendahulu Idrus, Tommy Thomas, Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong dan P Nallini, Hakim Mahkamah Rayuan Vazeer Alam Mydin Meera, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, dan menteri Nga Kor Ming serta timbalan menteri Ramkarpal Singh.

Ketika ditemui media, timbalan menteri undang-undang Ramkarpal mengenang bahawa dia telah lama mengenali Sri Ram kerana mendiang bapanya, peguam terkenal dan pemimpin DAP Karpal Singh bersama mendiang ketika mula-mula dalam bidang perundangan pada tahun 1970-an.

Ramkarpal, yang mempunyai latar belakang undang-undang dan merupakan seorang peguam sebelum menjadi menteri, melahirkan rasa kagumnya terhadap pengetahuan Sri Ram mengenai undang-undang ketika berada di Mahkamah Rayuan dan kemudiannya Mahkamah Persekutuan.

“Ia sentiasa menjadi satu keistimewaan untuk dia memberi saya bimbingan dalam undang-undang. Dia akan dirindui dan ia adalah satu kehilangan kepada profesion ini.

"Mendiang terkenal dengan kepintarannya, pengetahuan undang-undang yang mantap serta rasa humornya," kata Ramkarpal.

Abang Ramkarpal, Gobind Singh Deo, mengenang bahawa Sri Ram adalah seorang peguam dan hakim yang cemerlang yang sentiasa bersedia untuk membantu orang ramai.

“Mendiang memberi saya bimbingan semasa saya seorang peguam muda ketika itu. Kami berterima kasih kepada sumbangan mendiang kepada profesion guaman melalui cara mendiang membangunkan undang-undang sebagai hakim.

“Mendiang mempunyai pengetahuan yang cukup tentang undang-undang, dapat mengemukakan hujah undang-undang dengan cepat dan memberikan penyelesaian kepada masalah dengan cepat.

"Ini adalah kerana pengalamannya yang luas dan dia mempunyai sejenis kecemerlangan yang jarang dilihat. Dia luar biasa,” kenang Gobind.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga, yang sebelum ini merupakan seorang peguam, berkata Malaysia kehilangan salah seorang ahli undang-undang yang paling cemerlang dalam profesion itu, sambil menyorot bahawa Sri Ram dinaikkan terus ke Mahkamah Rayuan pada 1994 tanpa melalui Mahkamah Tinggi.

“Sepanjang 15 tahun mendiang di Mahkamah Rayuan dan kemudiannya Mahkamah Persekutuan, mendiang menulis lebih 1,500 alasan penghakiman.

“Anggota pengamal undang-undang menganggap mendiang bukan sahaja mempunyai minda yang produktif tetapi hakim yang paling prolifik, di mana sepanjang tempoh perkhidmatan, mendiang membersihkan banyak kes yang tertunggak. Ramai dalam anggota pengamal undang-undang menganggap mendiang sebagai Lord Denning Malaysia,” kata Nga.

Nga merujuk kepada mendiang hakim United Kingdom Lord Denning, yang disifatkan oleh bekas perdana menteri UK Margaret Thatcher sebagai "mungkin hakim Inggeris terhebat pada zaman moden".

V Sithambaram, peguam persendirian dan timbalan pendakwa raya yang berjaya mengetuai pendakwaan dalam kes rasuah RM42 juta SRC International terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, berkata bahawa pemergian Sri Ram adalah seperti berakhirnya satu era.

“Saya mengenalinya sejak 1978 di mana dia menjadi peguam utama dalam kes sivil. Dia seorang guru yang suka mengajar dan melihat orang lain bertambah baik. Dia suka berkongsi (kepakaran undang-undangnya).

“Dia bekerja keras dari jam 7 pagi hingga malam, dan dia masih bekerja sehingga saat akhir. Ia adalah panggilan sebenarnya untuk menjadi hakim dan peguam.

“Dia akan diingati kerana kemahiran advokasi dan pertimbangannya. Dia seorang yang bersimpati,” kata Sithambaram.

Peguam N Sivananthan pula berkata cara terbaik untuk menggambarkan Sri Ram ialah seorang yang tegas dan sukar untuk didekati yang juga baik hati dan sanggup membantu orang lain dalam hal undang-undang.

“Saya mengenalinya sejak awal menjadi pengamal undang-undang. Sebagai seteru, dia seorang yang budiman dan dia bersungguh-sungguh dengan apa yang dia katakan dan seorang yang menepati kata-katanya,” kata peguam itu.

Sivananthan mewakili bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang bersama bekas perdana menteri Najib Abdul Razak sedang menjalani kes mahkamah laporan audit 1MDB. Sri Ram adalah timbalan pendakwa raya utama dalam kes itu.

Petang ini, mendiang dijangka dibawa dari pusat peringatan ke Shah Alam untuk pembakaran mayat.

Dua hari lalu pada 12.15 tengah hari, Sri Ram, 79, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur. Dia sebelum ini dimasukkan ke hospital untuk rawatan jangkitan paru-paru.

Sri Ram mengetuai pendakwaan terhadap Najib dalam perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion yang sedang berjalan.

Mendiang juga merupakan pendakwa utama dalam projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor.

Bekas hakim itu dilantik mengetuai pendakwaan dalam kes ini oleh Thomas pada 2018.

Dilahirkan pada 16 Ogos 1943, kepada penolong pesuruhjaya, Sri Ram adalah bekas pelajar di Batu Road School dan Victoria Institution.

Mendiang pernah menjadi guru sebelum meninggalkan negara untuk meneruskan pengajian undang-undang di United Kingdom.

Mendiang kemudiannya dipanggil ke English Bar oleh Lincoln’s Inn pada 1969 dan Badan Peguam Malaysia kemudiannya pada 1970.

Sri Ram adalah hakim Mahkamah Rayuan pertama yang dinaikkan terus daripada Badan Peguam pada tahun 1994 apabila Mahkamah Rayuan mula ditubuhkan.

Mendiang mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2009 dan bersara daripada jawatan itu pada tahun berikutnya.

Mendiang kembali menjadi peguam tidak lama kemudian.

Sri Ram dikenali antara lain mewakili Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2014 dalam rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan liwat.

Sri Ram juga terlibat dalam pendakwaan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 1988.

Mendiang meninggalkan balu, Chandra dan dua orang anak.

Lihat Komen
ADS